Allah s.w.t. telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa
Iblis supaya dia berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. untuk memberitahu segala
rahsianya; samada yang disukai mahupun yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk
meninggikan darjat Nabi Muhammad s.a.w. dan juga sebagai peringatan dan perisai
kepada umat manusia.
Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata, "Hai
Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke
hadrat Rasullullah s.a.w. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan
apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan
sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya
akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan
azab yang amat keras".
Demi mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis
sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah s.a.w. dengan
menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai;
panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali tidak
juga dijawab oleh Rasulullah s.a.w. Maka sembah Iblis (alaihi laknat),"Ya
Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu
sangat mulia di sisi Allah?"
Maka jawab Nabi dengah marah "Hai Aduwullah seteru
Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku
sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga Habil mati
teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup
dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara
beberapa lama, Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan
kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa
Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau. Hai
Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam
engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku
kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang
menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?"
Sembah Iblis,"Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba
marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba.
Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba
terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah!
Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan
sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan." Maka Iblis pun bersumpah
menyebut nama Allah dan berkata "Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta
barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu"
Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam
hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar
didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai
kepada sekelian umatku.
Soalan Nabi (1) - "Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar
musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?" Jawab Iblis - "Ya
Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba
di muka bumi ini" Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun
mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,"Ya Khatamul Anbiya! Adapun
hamba dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan
lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan
sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba
menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan
iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan
pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba
berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik
sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke
dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba"
Soalan Nabi ke 2 - "Hai Iblis! Betapa perbuatanmu
kepada makhluk Allah" Jawab Iblis - "Adalah satu kemajuan bagi
perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya,
setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala
manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat
durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata,
rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan kejalan haram.
Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba
lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila
terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan
tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan
hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka,
terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri.
Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal
ibadat, hamba akan galang mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras
hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena
goda hatinya, datanglaah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan
amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat.
Demikianlah hamba goda mereka setiap saat."
Soalan Nabi ke 3 - "Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah
payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan
menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling
bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan
usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran
engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?" Jawab Iblis -
"Sekelian itu adalah anugerah daripada Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi
hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih
tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekelian
Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yang
tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat
beberapa lama. Tiba-tiba datang firman Allah s.w.t. hendak menjadikan seorang
Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah. Lalu Allah mencipta lelaki
(Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu,
kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kpd hamba dan muka hamba yang
cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa
sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan
seorang permaisuri (Siti Hawa) yang memerintah sekelian bidadari. Hamba
bertambah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu
melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau
dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian
dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang
anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya
Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan
hingga Hari Kiamat.
Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba
dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan
yang menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka.
Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa
yang sebenarnya hamba dapat, dengan berbagai tipu daya hingga tersesat dengan
berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke
dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta
mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu
langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontar
dengan anak panah daripada api yang menyala. Sudah banyak bala tentera hamba
yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka
besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas
hasutan."
Soalan Nabi ke 4 - "Hai Iblis! Apakah yang pertama
engkau tipu akan manusia?" Jawab Iblis - "Pertama sekali hamba
palingkan iktikadnya imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan,
perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik
dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut
kemahuan jalan hamba"
Soalan Nabi ke 5 - "Hai Iblis! Jika umatku sembahyang
kerana Allah, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis - "Sebesar-besar
kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba.
Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada
setiap anggota badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota
badannya supaya malas sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang
pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat,
hilangkan khusyuknya - matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya
sentiasa mendengar orang brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis
duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud
lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat
habis sembahyang, itu semua membawa kpd kurang pahala. Jika para Iblis itu
tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka
dengan seberat-berat hukuman"
Soalan Nabi ke 6 - "Jika umatku membaca Al-Quran kerana
Allah, apalah rasa engkau?" Jawab Iblis - "Jika mereka membaca
Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala
urat hamba lalu hamba lari daripadanya."
Soalan Nabi ke 7 - "Jika umatku mengerjakan haji kerana
Allah, bagaimana rasa engkau?" Jawab Iblis - "Binasalah diri hamba,
gugurlah daging dan tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun
Islamnya"
Soalan Nabi ke 8 - "Jika umatku berpuasa kerana Allah,
bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis - "Ya Rasulullah! Inilah bencana
yang paling besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan,
maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan
kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang
lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan
dosanya selama dia berpuasa. Yang menhancurkan hati hamba ialah segala isi
langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya
siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang
berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua
pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta
dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut
ke dalam syurga. Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah
datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba;
jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan
dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah
menunggu kami. Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan
amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa
ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di
tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa."
Soalan Nabi ke 9 - "Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku
kepada engkau?" Jawab Iblis - "Sekelian sahabat tuan hamba juga
adalah sebesar-besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu
tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata
yang "Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu
mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk." Saidina Abu Bakar
al-Siddiq sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan
pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan
hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika
ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan
lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua
tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak
menghafaz Hadis tuan. Saiyidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba
pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam
dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang
sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan
telah mengatakan, "JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh
menggantikan aku" kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai
membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar 'Al-Faruq'. Saiyidina Usman
Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak
membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan
menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang
melawat dan memberi hormat kepadanya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya
hingga tuan mengatakan,"Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim
pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala
seperti pahala Usman mati syahid" Saiyidina Ali Abi Talib pun itu hamba
sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat
bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka
terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau
adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menunduk kan kepalanya kepada
sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu' - dimuliakan Allah akan
wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata "Akulah negeri
segala ilmu dan Ali itu pintunya". Tambahan pula dia menjadi menantu
kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.
Soalan Nabi ke 10 - "Bagaimana tipudaya engkau kepada
umatku?" Jawab Iblis - "Umat tuan itu ada tiga macam. Yang pertama
seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang
memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta
meninggalkan laranganNya seperti kata Jibrail a.s "Ulama itu adalah pelita
dunia dan pelita akhirat" Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang
yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal
dan kebajikan. Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan
harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk
kedalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan hamba hela ke
mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang kepada dunia dan
tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak hendak
mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya minta kaya
dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal,
tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila
umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan
hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama
Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk
jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur"
Soalan Nabi ke 11 - "Siapa yang serupa dengan
engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan
membenci orang belajar agama Islam"
Soalan Nabi ke 12 - " Siapa yang mencahayakan muka
engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi
palsu, pemungkir janji"
Soalan Nabi ke 13 - "Apakah rahsia engkau kepada
umatku?" Jawab Iblis - Jika seorang Islam pergi buang air besar serta
tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri
ke badannya tanpa dia sedari"
Soalan Nabi ke 14 - "Jika umatku bersatu dengan
isterinya, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis - "Jika umat tuan
hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka
larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan
isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi
anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan,
durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka
makan tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka
makan, tiadalah rasa kenyang."
Soalan Nabi ke 15 - "Dengan jalan apa boleh menolak
tipu daya engkau?" Jawab Iblis - "Jika dia berbuat dosa, maka dia
kembali bertaubat kepada Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah
segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya."
Soalan Nabi ke 16 - "Siapakah orang yang paling engkau
lebih suka?" Jawab Iblis - "Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur
atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di
situ lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat
pada bulu itu"
Soalan Nabi ke 17 - "Hai Iblis! Siapakah saudara
engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya
celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena
hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak,
hamba beratkan hatinya untuk solat"
Soalan Nabi ke 18 - "Apakah jalan yang membinasakan
diri engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang banyak menyebut nama Allah,
bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus
Al-Quran dan solat tengah malam"
Soalan Nabi ke 19 - "Hai Iblis! Apakah yang memecahkan
mata engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang duduk di dalam masjid serta
beriktikaf di dalamnya"
Soalan Nabi ke 20 - "Apa lagi yang memecahkan mata
engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang taat kepada kedua ibubapanya,
mendengar kata mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka hidup, kerana
tuan telah bersabda,'Syurga itu di bawah tapak kaki ibu' "
Tidak ada komentar:
Posting Komentar